Connect with us

Politik

‘KJ Role Model Terbaik, Seorang Menteri Ada Misi’

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia yang pastinya menjadi cerminan kepada pemilihan anggota Kabinet.

Pengekalan muka lama serta memperkenalkan muka baru adalah langkah untuk melicinkan segala perancangan kerajaan
sebelum ini.

Walaupun masih terdapat cakap-cakap belakang berhubung pemilihan anggota Kabinet yang tidak mempamerkan muka baharu namun resipi Perdana Menteri kali ini pastinya memberi fokus kepada pemulihan situasi pandemik serta merancakkan ekonomi negara.

Ikuti kupasan Kafe Ahad bersama Penganalisis Politik yang juga Ketua Kluster Governan dan Integriti Universiti Utara Malaysia (UUM) PROF DR AHMAD MARTADHA MOHAMED bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Advertisement

Kabinet Keluarga Malaysia. Komen?

Justeru, Kabinet yang dilantik ini adalah cerminan kepada Keluarga Malaysia iaitu konsep yang dibawakan oleh Perdana Menteri.

Secara tidak langsung, konsep ini memberi cerminan jelas berhubung kaedah paling sesuai untuk membawa negara keluar daripada situasi pandemik serta kemelut ekonomi iaitu dengan bersatu padu merentasi pelbagai ideologi politik serta kaum.

Objektif sebagai menteri perlu terang, jelas dan terperinci.

Tanggungjawab sebagai seorang menteri adalah jelas berdasarkan spesifikasi kerja di setiap kementerian.

Seseorang menteri itu adalah key decision maker dalam kementerian yang diterajuinya.

Beliau juga perlu menetapkan hala tuju kementerian yang mesti selari dengan dasar dan falsafah pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri baharu.

Advertisement

Sebagai contoh, Menteri Pendidikan perlu menetapkan dengan jelas dasar dan hala tuju pendidikan negara bagi memastikan semua warga kerja di bawah kementerian dapat memahami dan menghayati falsafah itu.

Ia seterusnya dapat menterjemahkan falsafah tersebut dalam bentuk tindakan untuk diimplementasikan dengan efektif dan efisien.

Saya melihat kepada barisan baharu ini adalah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, beliau adalah role model terbaik seorang menteri yang mempunyai objektif jelas terhadap apa yang mahu dicapai.

Boleh dilihat ketika mengemudi kementerian terdahulu dan mengetuai jentera pengagihan vaksin, Khairy Jamaluddin adalah pemimpin yang mempunyai clear vision.

Ia penting bagi memastikan semua bekerja sebagai satu gerabak menghala arah tuju yang sama.

Apabila semua warga kerja dapat memahami dengan jelas hala tuju yang diinginkan oleh menteri, maka mereka akan berupaya melaksanakan segala arahan yang diberikan dengan baik.

Advertisement

Datuk Seri Hishamuddin Hussein dua kali dilantik Menteri Pertahanan, pendapat Prof?

Pelantikan semula Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Pertahanan adalah berdasarkan kebolehan dan pengalaman beliau mentadbir kementerian berkenaan.

Saya tidak terkejut beliau kembali ke portfolio lama beliau kerana daya kepimpinannya sememangnya terbukti, malah prestasi cemerlang beliau di Kementerian Luar juga dikagumi.

Masyarakat pasti dapat mengingati dengan jelas keupayaan beliau menguruskan tragedi kehilangan pesawat MH370 dengan pelbagai siasatan dan tuduhan yang dibuat oleh pihak antarabangsa.

Di samping itu, hubungan baik beliau dengan pemimpin luar negara juga aset penting terutamanya dalam mengekalkan hubungan dua hala antara negara.

Justeru, berdasarkan kekuatan personaliti beliau yang dilihat mampu bekerjasama dengan pelbagai pihak serta pengalaman beliau menerajui kementerian pertahanan sebelum ini, maka tidak hairanlah beliau sekali lagi diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk mengetuai kementerian pertahanan.

Advertisement

Jumlah menteri kabinet masih besar, ia pasti ada kewajarannya?

Jumlah menteri kabinet yang besar dilantik adalah berdasarkan kepada pendekatan inclusivity.

Perdana Menteri dilihat mahu memastikan bahawa setiap parti komponen yang membentuk kerajaan pada hari ini diwakili dengan adil dan saksama.

Contoh, walaupun MCA hanya mempunyai dua ahli Parlimen namun Perdana Menteri melantik seorang menteri dan empat timbalan menteri.

Jumlah ini sebenarnya mencerminkan usaha Perdana Menteri untuk memastikan masyarakat Tionghua turut mempunyai perwakilan dalam kabinet.

Begitu juga dengan negeri Sabah dan Sarawak, peningkatan dalam jumlah lantikan sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri adalah manifestasi usaha beliau untuk kedua-dua negeri tersebut mempunyai perwakilan yang saksama dalam Kabinet.

Advertisement

Justeru, berdasarkan konsep inklusiviti ini adalah tidak dapat dinafikan sistem pengagihan menteri dan timbalan menteri daripada parti komponen yang membentuk kerajaan akan menjadikan saiz Kabinet agak besar.

Namun, adalah diharapkan jumlah Kabinet yang besar ini akan dapat berupaya membantu Perdana Menteri untuk mencapai agenda negara dengan lebih cepat dan berkesan.

Ada muka lama, ada muka baru. Harapan rakyat Malaysia kepada mereka amat menggunung. Perdana Menteri juga arahkan mereka untuk bekerja keras untuk rakyat.

Gandingan muka baru dan muka lama dalam Kabinet diharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan program kerajaan.

Rakyat amat mengharapkan agar semua pemimpin yang dilantik ini dapat terus melaksanakan kerja mereka dengan lebih baik.

Ramai masyarakat sebelum ini mengkritik beberapa menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.

Advertisement

Justeru, keupayaan untuk menghasilkan prestasi kerja yang lebih tinggi dan produktif amatlah diharapkan oleh masyarakat umum.

Kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri perlulah diterjemahkan dalam bentuk kerja yang lebih berkualiti dan berprestasi tinggi.

Sepatutnya tidak akan ada lagi rungutan daripada masyarakat terhadap mana-mana menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Tempoh kerajaan yang ada yang tidak sampai dua tahun juga perlu dijadikan impetus oleh semua menteri dan timbalan menteri untuk bekerja dengan lebih kuat.

Walaupun Perdana Menteri meletakkan tempoh 100 hari sebagai penanda aras kepada keupayaan menteri untuk mencapai key performance indicators, tempoh tersebut bukanlah matlamat sebenar yang akan menguji prestasi dan kebolehan setiap menteri.

Advertisement

Yang paling utama sudah tentulah pencapaian segala program yang sudah dirancangkan dan perlu dilaksanakan dengan segera bagi memastikan rakyat dapat menikmati faedah daripada program-program kerajaan.

Demi mencapai matlamat tersebut, maka setiap menteri perlulah bekerjasama bagi meningkatkan koordinasi dalam pentadbiran kerajaan.

Amalan budaya silo yang berlaku sebelum ini yang mana terdapat percanggahan dalam pelaksanaan arahan kerajaan perlulah dielakkan.

Kerjasama antara pelbagai kementerian yang berkaitan di samping kerjasama dengan negeri-negeri sama ada ditadbir oleh kerajaan atau pembangkang perlulah ditingkatkan demi mencapai matlamat dasar-dasar kerajaan.

Pembentukan jawatankuasa di dalam setiap kementerian perlulah dilaksanakan dan dianggotai oleh mereka yang pakar dalam bidang tertentu agar usaha kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 dan membangunkan semula ekonomi negara dapat dicapai dengan secepat yang mungkin.

Advertisement

Harapan rakyat untuk negara dapat mengatasi krisis kesihatan dan ekonomi adalah sangat tinggi dan harapan yang menggunung ini sudah tentulah perlu dipikul oleh semua menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik hari ini.

Penuhilah amanah dan kepercayaan rakyat ini dengan sebaik yang mungkin.

Sumber: Harian Metro

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel