Seorang lelaki yang cuba meragut seorang wanita menerima padah apabila ia dilanggar oleh suami mangsa di Kampung Binjai, Kota Bharu, Kelantan semalam. Difahamkan, mangsa yang berusia 29 tahun itu baru sahaja turun dari bas ekspres dan menanti dijemput oleh suaminya.
Menurut laporan Harian Metro, mangsa yang dikatakan baru sahaja tiba dari Negeri Sembilan itu sedang menunggu suaminya di tepi jalan persimpangan Kedai Piah. Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suami mangsa yang menyedari kejadian terbabit bertindak mengejar suspek.
“Tiba-tiba datang seorang lelaki menunggang motosikal terus meragut beg tangan mangsa. Suami mangsa yang kebetulan tiba di tempat kejadian, bertindak melanggar motosikal suspek dengan kereta yang dipandunya namun lelaki itu cuba melarikan diri.”
“Berlaku pergelutan antara suspek dan suami mangsa namun lelaki itu berjaya ditahan dengan bantuan dua orang awam lain yang melalui tempat kejadian.”
Dikhabarkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun suaminya mengalami luka di bahagian telinga kiri akibat pergelutan bersama suspek. Suspek turut mengalami luka di tangan serta lutut dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi rawatan susulan.
Tidak berakhir di situ, menerusi pemeriksaaan ke atas beg pinggang milik suspek, pihak polis menjumpai satu paket lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah.
“Ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis Methampethamine dan memiliki 14 rekod lampau bersabit dadah dan jenayah. Permohonan reman sedang dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK).”