Connect with us

Sukan

Skuad Bola Sepak Wanita Negara Terkulai Di Tangan Thailand

Pasukan bola sepak wanita kebangsaan terpaksa akur apabila tewas 4-0 kepada Thailand pada perlawanan pembukaan Kumpulan H kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, hari ini.

Skuad bimbingan Jacob Joseph dikejutkan dengan dua gol pada minit awal perlawanan menerusi tandukan penyerang Kanyanat Chettabutr 35 saat selepas wisel permulaan dibunyikan di Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini, Jerusalem.

Seminit kemudian, Thailand yang menduduki ranking ke-39 dunia menambah jaringan menerusi rembatan di luar kotak penalti oleh pemain tengah Nutwadee Pram-nak sebelum Kanyanat menambah gol ketiga pada minit ke-37.

Skuad negara memperoleh peluang terbaik pada minit ke-18 namun sepakan Henrietta Justine ditangkap kemas penjaga gol Thailand Waraporn Boonsing.

Advertisement

Memasuki babak kedua perlawanan, skuad negara dilihat bertahan dengan baik apabila berjaya mengekang asakan demi asakan skuad Thailand yang dibimbing Miya Okamoto dengan penjaga gol Malaysia Nurul Azurin Mazlan berjaya menyelamatkan gawangnya daripada terus dibolosi.

Namun, di penghujung aksi, skuad negara hilang tumpuan dan kesempatan itu diguna sebaik mungkin Kanyanat untuk mencipta hatrik sekali gus melengkapkan kemenangan 4-0 pasukannya pada waktu kecederaan.

Malaysia tampak sukar untuk layak ke peringkat akhir kejohanan di India tahun depan, dijadual melengkapkan aksi kelayakan menetang Palestin pada Rabu, manakala Thailand akan berdepan Palestin pada Sabtu ini.

Sebanyak 28 pasukan dibahagi kepada lapan kumpulan dengan empat pasukan diundi dalam kumpulan A, B, D dan C manakala tiga pasukan diundi dalam kumpulan E, F, G dan H.

Juara setiap kumpulan layak ke Kejohanan Premier antara 12 pasukan kebangsaan wanita di benua itu, manakala tuan rumah India, serta tiga pasukan terbaik edisi 2018 – Jepun, Australia dan China – telah melayakkan diri ke kejohanan tersebut dijadual berlangsung 20 Jan hingga 6 Feb 2022.

Advertisement

— BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel