Connect with us

Mahkamah

Ahmad Maslan Bebas Tuduhan Gagal Isytihar RM2 Juta, Beri Penyataan Palsu

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

“Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, TPR mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama pada masa akan datang. Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan bayaran kompaun tersebut.

“Berpandukan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dan nas undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya terhadap Ambika M A Shanmugam, mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama dan kedua.

Advertisement

“Semua tarikh bicara yang telah dijadualkan dilapangkan,” kata Hakim Ahmad Shahrir.

Terdahulu, Mohd Mukhzany Fariz memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memohon supaya Ahmad dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas kedua-dua pertuduhan itu.

“Sebelum pertuduhan ini dipertuduhkan ke atas tertuduh (Ahmad), tertuduh telah ditawarkan kompaun, bagaimanapun tertuduh pada asalnya tidak bersetuju untuk membayar kompaun tersebut.

“Selepas pertuduhan dibuat ke atas tertuduh, peguamnya menulis surat representasi dan setuju untuk membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta. Oleh itu, SPRM dan AGC (Jabatan Peguam Negara) bersetuju dengan representasi tertuduh…maka dengan ini pihak pendakwaan bersetuju kes ini untuk DNAA, ” katanya.

Hakim Ahmad Shahrir: Adakah pihak pendakwaan akan meneruskan pertuduhan yang sama terhadap tertuduh?.

Mohd Mukhzany Fariz: Jika dilihat pada asalnya kompaun telah ditawarkan ke atas tertuduh dan tertuduh telah menjelaskan kompaun tersebut, saya percaya kita tidak mendakwanya semula atas kesalahan sama.

Advertisement

Hakim Ahmad Shahrir berkata Peguam Negara diperuntukkan kuasa di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

“Kuasa pendakwaan ini boleh dijalankan oleh Peguam Negara menurut budi bicaranya. Seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah yang seterusnya memperkukuh kedudukan ini dan menyatakan Peguam Negara hendaklah menjadi sebagai Pendakwa Raya dan hendaklah mempunyai kawalan dan arahan dalam semua pendakwaan jenayah.

“Apabila Pendakwa Raya menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak selanjutnya meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, adalah menjadi kewajipan mahkamah, mempertimbangkan sama ada tertuduh sepatutnya diberi perintah pelepasan tanpa pembebasan atau perintah pelepasan dan pembebasan,” katanya.

Hakim itu berkata perkara tersebut adalah kuasa budi bicara kehakiman yang mesti dipertimbangkan menurut lunas undang-undang.

–BERNAMA

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel