Seorang lagi pelanggan mendakwa menjadi mangsa di sebuah restoran makanan laut di Pulau Langkawi, Kedah selepas tular dua kes melibatkan harga makanan yang mahal.
Menerusi satu hantaran Facebook yang dimuat naik oleh Pok Mark, kejadian itu berlaku sewaktu dia bercuti di Pulau Langkawi bersama keluarganya pada Sabtu (23 Oktober).
Selepas seronok bergambar di sekitar pulau, pelanggan tersebut dibawa ke destinasi terakhir bersama keluarganya untuk melihat pertunjukkan ikan dan menjamu selera di restoran berkenaan.
“Seorang wanita datang memberi buku menu waktu kami semua duduk di meja makan. Mula-mula kami order tanpa melihat menu, ada yang nak nasi goreng, mee goreng la.. pendek kata goreng-goreng la.
“Akak tu kata goreng-goreng tak ada. Saya fikir bahan masakan habis mungkin sebab dah petang, jadi yang ada hanyalah menu berlauk sahaja.
“Kami order secara rambang sebab buku menu ada satu sahaja dan nak senangkan kerja dia. Saya ada minta buku menu lebih, tapi dia buat tak endah,” katanya yang membuat pesanan makanan untuk 19 orang termasuk kanak-kanak.
Tangkap layar luahan seorang pelanggan yang mendakwa dikenakan caj mahal ketika makan di Langkawi.
Menurut pelanggan itu, pada mulanya ikan siakap tiada di dalam menu dan dia memesan lauk ikan lain sebanyak tiga ekor yang bernilai RM 214.20.
Tetapi pekerja restoran tersebut tiba-tiba memberitahu bahawa ikan siakap sudah ada semula di dalam menu dan pelanggan mengambil keputusan memesan seekor sahaja setelah dimaklumkan saiznya yang besar sudah cukup untuk mereka sekeluarga.
Setelah bersetuju dengan pesanannya, mereka sekumpulan mula meneka berapa jumlah keseluruhan bil yang bakal dikenakan.
“Mula-mula kami berteka-teki juga la, mungkin RM 200.00 atau RM300.00. Paling mahal pun RM 500.00 sebab kami ramai kan…rupa-rupanya empat angka.
“Air pun cekik tengkuk tahap tak mati, inikan pula ikan siakap yang katanya dari kayangan tapi keturunan Langkawi.
“Itu baru ikan, harga air kosong pun sudah RM 5.00 mau tersedak nak minum,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Terkejut dengan caj yang dikenakan untuk air kosong, dia tidak dapat membayangkan berapa harga jika mereka semua memesan air manis.
Oleh kerana mereka berkunjung ke restoran tersebut dalam kumpulan yang besar, bayaran bil makanan berjumlah RM 1234.20 itu dikongsi bersama.
“Nasib lah ramai, boleh jugak kongsi, kalau yang datang bawa mak ayah dan anak-anak?, tak ke naya.
“Telur 4 biji pun sama harga telur sepapan, tak tahu lah mahu sumpah atau mahu doa baik-baik kat peniaga itu sebab hati ini macam tak ikhlas saja semasa bayar,” kongsinya.