Connect with us

Global

Letusan gunung berapi di Tonga akibatkan kerosakan besar

WELLINGTON: Letusan gunung berapi dahsyat di Tonga yang mencetuskan gelombang tsunami di sekitar Pasifik menyebabkan ‘kerosakan besar’ dengan ibu negara pulau itu diliputi debu, kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, hari ini.

Letusan yang tercetus semalam begitu kuat sehingga ia direkodkan di seluruh dunia dan menyebabkan tsunami yang membanjiri pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat (AS).

Menurut Ardern, ibu kota Nuku’alofa mengalami kerosakan ‘ketara’, sambil menambah tiada laporan kematian dicatatkan. Bagaimanapun, penilaian penuh belum dapat dilaksanakan susulan talian komunikasi terputus.

“Tsunami telah memberi kesan ketara di pantai pesisir depan di sebelah utara Nuku’alofa dengan bot dan batu besar dihanyutkan ke darat,” kata Ardern selepas menghubungi kedutaan New Zealand di Tonga.

Advertisement

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat mengenai kerosakan di pulau-pulau luar dan New Zealand akan menghantar pesawat peninjau tentera udara ‘sebaik sahaja keadaan atmosfera mengizinkan’, kata Angkatan Pertahanan New Zealand dalam ciapan di Twitter.

Imej satelit yang dramatik menunjukkan letusan panjang dan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai memuntahkan asap dan abu ke udara, dengan bunyi letusan kedengaran 10,000 kilometer (km) jauhnya di Alaska.

Letusan itu mencetuskan tsunami merentasi Pasifik dengan ombak setinggi 1.74 meter (m) diukur di Chanaral, Chile, lebih 10,000 kilometer (km) jauhnya,

Dalam pada itu, AS menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan penduduk di Tonga.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berikrar akan memberikan sokongan kepada negara kepulauan itu.

Advertisement

Ombak setinggi 1.2 meter membadai ke darat, di ibu negara Tonga dengan penduduk tempatan melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi, terpaksa meninggalkan rumah yang ditenggelami air.

“Ia sangat besar, tanah dan rumah kami bergegar. Ia datang dalam gelombang.

“Adik saya menyangka terdapat bom meletup di kawasan berdekatan,” kata penduduk Mere Taufa kepada laman web berita Stuff.

Katanya, air memenuhi rumah mereka beberapa minit kemudian dan dia melihat dinding rumah jiran runtuh.

Ombak sekitar 1.2 meter turut melanda sepanjang pantai Pasifik Jepun.

Advertisement

Menjelang jam 3:00 pagi tadi, Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii berkata ancaman daripada letusan itu telah berlalu.

Sementara itu, saintis New Zealand yang juga pensyarah kanan di Otago University’s School of Geology, Marco Brenna, berkata kesan letusan itu ‘agak ringan’ tetapi satu lagi letusan dengan kesan lebih besar tidak boleh diketepikan.

Dalam satu hantaran di Twitter Institut Geofizik, University Alaska Fairbanks (UAF), letusan itu sangat kuat sehingga kedengaran di Alaska.

“Sebahagian daripada isyarat tekanan di Alaska berada dalam julat boleh didengar. Isyarat yang sangat besar itu tidak begitu mengejutkan mengambil kira skala letusan, tetapi aspek ia boleh didengar adalah agak unik,” katanya, memetik saintis Balai Cerap Gunung Berapi Alaska, David Fee.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai yang terletak kira-kira 65 kilometer di utara Nuku’alofa, merekodkan sejarah turun naik.

Advertisement

Ia mencecah paras laut ketika letusan pada 2009 manakala pada 2015, ia memuntahkan begitu banyak batu besar dan abu ke udara. – AFP

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel