Connect with us

Mahkamah

Mahkamah Persekutuan Mungkin Terus Buat Keputusan Dalam Rayuan Akhir Kes SRC Najib

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Banyak ketidakpastian dilihat mengenai apa yang bakal berlaku dalam rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, susulan keengganan peguamnya untuk membuat sebarang hujahan bagi membela bekas perdana menteri itu.

Jumaat lepas peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa beliau juga tidak akan mengemukakan hujahan lisan untuk anak guamnya.

Hakim Tengku Maimun bagaimanapun berkata mahkamah akan menangani perkara itu pada hari Selasa ini. Mahkamah sebelum ini menetapkan 15 hingga 19 Ogos serta 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan berkenaan.

Sehubungan itu, ramai dalam kalangan pengamal undang-undang berpendapat bahawa mahkamah tertinggi itu boleh membuat keputusan serta-merta walaupun tiada hujahan daripada peguambela Najib.

Advertisement

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ini kerana mahkamah boleh membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis yang difailkan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib di Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Beliau berkata ia juga boleh dibuat berdasarkan petisyen rayuan yang difailkan oleh peguam cara Najib sebelum ini pada 25 April lepas, yang menyenaraikan 94 alasan mengapa Najib perlu dibebaskan.

“Terdapat bahan yang mencukupi di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk dibincangkan walaupun tanpa penghujahan lisan. Oleh itu, tidak mungkin kes itu akan ditangguhkan,” katanya.

Peguam Lim Wei Jiet juga bersetuju dengan pandangan itu, dan mengatakan bahawa sebagai mahkamah tertinggi negara, ia berkemungkinan akan membuat keputusan berdasarkan alasan rayuan dalam memorandum rayuan, rekod rayuan serta hujahan dalam Mahkamah Rayuan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib.

Sementara itu, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berpendapat mahkamah mungkin memuktamadkan perbicaraan pada hari itu, tetapi akan mengekalkan penghakimannya kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Advertisement

“Keputusan itu mungkin akan disampaikan pada hari lain,” kata peguam itu.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh pendakwa ad hoc Datuk V.Sithambaram ketika menggulung hujahannya Jumaat lepas berkata, mahkamah boleh terus sahaja membincangkan keputusan mereka, sekiranya tiada hujahan bertulis atau lisan baharu bekas perdana menteri itu.

Memetik undang-undang kes, Sithambaram berhujah bahawa terdapat dahuluan bagi mahkamah untuk “meneruskan dengan sewajarnya” kerana pihak pembelaan telah menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk memfailkan sebarang hujahan baharu bagi rayuan itu.

Jumaat lepas merupakan hari kedua pedengaran hujahan oleh panel itu, yang turut dianggotai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd, untuk mendengar keputusan akhir Najib merayu bagi membatalkan sabitan dan hukumannya.

Dua hari prosiding menyaksikan pelbagai peristiwa menarik. Hisyam mula-mula cuba menarik diri daripada mewakili Najib, namun permohonannya ditolak oleh mahkamah, dan mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan mereka.

Advertisement

Hisyam pada hari Jumaat juga memberitahu panel bahawa Najib telah melepaskan peguamnya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) daripada mewakilinya.

Peguam itu sekali lagi meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada Khamis minggu depan kerana dia mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu, namun ia ditolak oleh mahkamah.

Pada 16 Ogos, mahkamah telah menolak permohonan Hisyam untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan rayuan diteruskan pada 18 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Advertisement

Sumber: BERNAMA

Jemput subscribe 👉 https://bit.ly/3zmvvMC

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel