Connect with us

Jenayah

Polis Tahan Lima Individu Termasuk Remaja Perempuan 14 Tahun Kes Culik Bayi Perempuan Berusia 9 Bulan

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos (Bernama) — Polis menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan berumur 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan diculik dari rumah pengasuhnya di Bukit Tengah di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata susulan laporan polis dibuat bapa bayi itu, polis menahan tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 14 hingga 43 tahun dalam dua serbuan berasingan di Machang Bubok, di sini dan Kulim, Kedah pada hari sama.

“Ibu kepada bayi itu sampai di rumah pengasuh di satu unit pangsapuri pada 5.30 petang untuk mengambil anak perempuannya iaitu bayi berusia sembilan bulan yang dijaga seorang wanita warga emas berusia 65 tahun.

“Pengasuh itu memaklumkan cucu perempuannya berumur 14 tahun yang menjaga bayi itu di ruang tamu rumah mereka telah membawa lari mangsa ketika dia sedang solat dan semasa kejadian, kakak kepada remaja berkenaan yang berusia 18 tahun berada di dalam bilik lain di rumah itu sedang menjaga tiga lagi kanak-kanak lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata sejurus kejadian, mereka telah bertanya kepada pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan dan pada masa sama neneknya cuba menghubungi suspek melalui telefon bimbit, namun tidak berjaya.

Tan berkata pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal menunjukkan remaja perempuan itu menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 berwarna merah tanpa memakai topi keledar sambil menggendong mangsa dengan tangan kirinya.

Beliau berkata hasil risikan dan serbuan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis daerah SPT menyerbu sebuah pondok di kawasan Machang Bubok pada 11.50 malam dan menahan remaja perempuan itu bersama teman lelakinya dan seorang rakan lelaki masing-masing berumur 18 tahun yang sedang makan di situ.

“Seterusnya polis menyerbu sebuah rumah di Kulim dan menahan seorang wanita dan lelaki masing-masing berumur 43 dan 30 tahun iaitu ibu dan bapa tiri kepada teman lelaki remaja perempuan itu. Polis berjaya menyelamatkan bayi berkenaan yang berada di dalam sebuah van kilang bersama pasangan suami isteri terbabit di situ,” katanya.

Menurut Tan, berdasarkan siasatan awal, selepas remaja itu membawa bayi berkenaan ke pondok di Machang Bubok, dia menaiki motosikal bersama teman lelakinya ke Kulim dan meninggalkan mangsa di situ untuk dijaga sementara oleh ibu lelaki terbabit.

Advertisement

“Remaja itu meminta ibu teman lelakinya menjaga sebentar bayi yang kononnya ialah anaknya bersama tekan lelaki lama, namun suspek memaklumkan kepada polis yang dia melarikan bayi itu kerana chubby (montel) dan comel,” katanya.

Tan berkata bayi kepada pasangan suami isteri berusia 24 dan 26 tahun yang bekerja kilang itu dijaga oleh pengasuh berkenaan sejak lapan bulan lepas dengan bayaran RM500 sebulan manakala remaja perempuan itu tidak bersekolah dan tidak tinggal secara tetap dengan neneknya.

“Bayi itu dalam keadaan sihat dan selamat serta dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut…siasatan masih dijalankan sama ada bayi itu cuba dijual kepada mana-mana pihak atau sindiket,” katanya dan menambah lima individu itu direman selama empat hari hingga 27 Ogos manakala kes disiasat menurut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

Advertisement

Jemput subscribe 👉 https://bit.ly/3zmvvMC

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel