Connect with us

Mahkamah

Kes Basikal Lajak: Rayuan Kerani Akan Didengar 31 Mac Tahun Depan

PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) — Mahkamah Rayuan menetapkan 31 Mac tahun depan bagi mendengar rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan kesalahan, hukuman penjara enam tahun dan denda kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

Seorang daripada peguam tertuduh, Yasmeen Soh Sha-Nisse ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz.

Beliau berkata pihak pembelaan dan pendakwaan perlu memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 16 Mac tahun depan dan pengurusan kes terakhir akan diadakan pada 17 Mac tahun depan.

Pengurusan kes hari ini, turut dihadiri peguam Sam yang lain, Harvinderjit Singh dan Faizal Mokhtar, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari.

Advertisement

Pada 28 Okt 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa memerintahkan membela diri terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret dan mengarahkan Sam untuk membela diri bagi pertuduhan memandu secara melulu.

Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam pada akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Advertisement

Sam mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan juga telah membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Sumber: BERNAMA

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Advertisement

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel