Connect with us

Mahkamah

Pendakwaan bantah permohonan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan bela diri

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini membantah permohonan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya mengemukakan bantahan awal atas alasan permohonan tersebut tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

Katanya, kaedah pemfailan notis usul yang dibuat oleh pasangan itu adalah salah dan bertentangan dengan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Tatacara Jenayah.

“Permohonan semakan itu sepatutnya didengar atas budi bicara mahkamah dan bukannya atas permohonan notis usul yang mahkamah terpaksa mendengar merit (semakan) tanpa ada budi bicara,“ katanya yang turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan awal itu hari ini.

Advertisement

Peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar berkata mahkamah mempunyai budi bicara untuk menyemak keputusan di bawah Seksyen 31 dan 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Menurutnya, terdapat tiga kaedah berdasarkan keputusan mahkamah terdahulu yang diguna pakai dalam permohonan semakan termasuk antaranya mahkamah boleh memanggil rekod prosiding untuk disemak.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian menetapkan 11 Nov untuk mendengar bantahan awal tersebut.

Terdahulu, JC Azhar membenarkan permohonan Zizie Izette untuk menggabungkan permohonan semakannya dengan kes Bung Moktar selepas Athimulan memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah penyatuan dua kes tersebut untuk didengar bersama.

Pada 23 Sept lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah mereka di Mahkamah Sesyen selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula serta mengetepikan keputusan Hakim Rozina Ayob.

Advertisement

Bung Moktar dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan pada 19 Sept lepas antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen atas alasan hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.-Bernama

Advertisement

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel