Connect with us

Jenayah

Gara-gara selisih faham di jalan, warga emas parah ditetak

AMPANG – Seorang pemandu kereta warga emas telah melalui detik yang cemas dan menyedihkan apabila dibelasah teruk dengan batang golf, parang dan batang besi selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan Mers 999 daripada orang awam mengenai pergaduhan yang berlaku pada Khamis lalu, jam lebih kurang 2.24 petang .

Pergaduhan tercetus membabitkan warga emas berusia 60 tahun dengan suspek yang berusia 39 tahun.

“Semasa kejadian berlaku, mangsa bersama isterinya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah dengan menaiki kereta sebelum berlaku selisih faham dengan suspek yang menaiki motosikal berhubung keluar simpang di laluan yang sama.

Advertisement

“Berikutan perselisihan faham bagi menentukan siapa hendak keluar di simpang jalan itu, tiba-tiba berlaku pergaduhan di antara mangsa dan suspek dengan menggunakan senjata batang golf, parang dan sebatang besi pengunci kereta,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, akibat insiden pergaduhan bersenjata itu, warga emas itu telah mengalami kecederaan patah tangan kanan, luka di tangan kiri dan kanan serta pendarahan otak manakala suspek penunggang motosikal pula mengalami kecederaan di kepala.

Warga emas dan suspek kedua-duanya kini sedang mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Jelas Mohamad Farouk, siasatan awal polis mendapati punca sebenar kejadian dipercayai akibat salah faham ketika berada di atas jalan raya.

Susulan itu, suspek yang merupakan seorang peniaga di kawasan Ampang berjaya dijejaki dan ditahan oleh polis pada jam 6.20 petang Jumaat lalu.

Advertisement

“Polis juga merampas pakaian serta sebatang besi yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian itu.

“Suspek juga telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum keputusan mengesahkan positif dadah jenis syabu dan benzo,” katanya.

Semakan lanjut juga mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dadah dan kini telah ditahan reman selama enam hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

Mohamad Farouk berkata, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa yang memperuntukkan hukuman dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Advertisement

Sumber: MalaysiaGazette

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel