Seorang guru wanita berusia 53 tahun membuat laporan polis berhubung tindakan dua remaja lelaki berusia 18 tahun melemparkan kata-kata kesat terhadap pembuat kerja soalan Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menghina Singapura, yang tular sejak semalam.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan dua remaja berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua remaja terbabit telah ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Selangor di kediaman mereka.
Polis turut merampas sebuah telefon pintar jenis iPhone 11 yang dipercayai digunakan untuk merakam dan menularkan video tersebut.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dan semakan data menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Suffian meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video tersebut yang akan menimbulkan kegusaran dan mengelirukan masyarakat sehingga mencetuskan perbalahan.
Terdahulu susulan tular video pelajar melemparkan kata-kata kesat terhadap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hanya kerana kertas peperiksaan Sejarah (SPM) mengandungi soalan berkaitan negara jiran, pelajar terbabit tampil memohon maaf di atas tindakannya.
“Assalamualaikum, saya pelajar yang terlibat dalam video yang viral petang tadi selepas menduduki peperiksaan Sejarah Kertas 2.
“Di sini saya ingin menjelaskan apa yang terjadi dalam video tersebut. Sebenarnya apa yang keluar daripada mulut saya itu adalah spontan dan ketika itu saya bergurau dengan kawan-kawan. Jadi, kita meluahkan apa yang berlaku dalam dewan peperiksaan.
“Tetapi kawan saya ini tersilap langkah dan tidak berfikir sebelum membuat (rakaman) dan memuat naik video berkenaan dan viral di media sosial.
“Saya memohon maaf pada semua rakyat Malaysia, Kementerian Pendidikan, cikgu-cikgu sekolah saya dan mereka yang terlibat dalam membuat kertas peperiksaan sejarah itu.
“Saya memang tiada niat untuk berbuat demikian. Apa yang berlaku sememangnya spontan keluar dari mulut. Saya mohon maaf di atas kesilapan saya dan perkara ini akan menjadi pengajaran dan iktibar buat diri saya untuk tidak mengulangi perbuatan ini lagi.
Sementara itu rakannya turut tampil memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat sehingga menjejaskan nama baik sekolahnya.
“Saya amat menyesali perbuatan saya yang menularkan video tersebut dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu.
“Saya juga akan bertanggungjawab di atas kesalahan saya yang telah memburukkan nama sekolah dan rakan saya. Saya tidak berfikir panjang sebelum memuat naik video itu,” katanya yang turut meminta orang ramai berhenti menularkan video tersebut.
Sumber: Harian Metro
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI
Sumbangan anda adalah penting untuk kelangsungan portal ini. KLIK SINI.