“Pembunuhan kari” ialah kes pembunuhan berprofil tinggi pada tahun 1984 apabila pelaku bertindak mahu menutup pembunuhan itu dengan memotong mayat mangsa Ayakanno Marimuthu sehingga menjadi kepingan dan akhirnya dimasak ke dalam hidangan kari. Pada bulan Mac 1987, enam suspek, termasuk isteri Marimuthu, Nagaratha Vally Ramiah dan keluarganya didakwa atas tuduhan membunuh, tetapi dibebaskan kerana tiada mayat atau bukti pembunuhan itu pernah ditemui.
Jenayah ngeri itu mula dibongkar pada 8 Januari 1987 apabila seorang pemberi maklumat mendedahkan kepada Detektif G. Alagamalai bahawa penjaga chalet percutian bernama Ayakanno Marimuthu telah dibunuh dengan kejam tiga tahun lalu pada Disember 1984. Tambahan pula, dia mendakwa bahawa Marimuthu telah disembelih menjadi kepingan dan dimasak dalam kari sebelum dibuang ke dalam beg sampah.
Walaupun terkejut dengan apa yang didengar tentang pembunuhan itu, Alagamalai memutuskan untuk memeriksa latar belakang kes itu dan membawa cerita itu kepada pihak atasannya di Jabatan Siasatan Jenayah sehingga kemudiannya pegawai kanan mengarahkan Alagamalai untuk membuka siasatan kes itu.
Pada 18 Disember 1984, isteri Marimuthu Nagaratha Vally Ramiah melaporkan bahawa suaminya tidak pulang ke Singapura selepas pergi berjudi di Genting Highlands, Malaysia pada 12 Disember. Disebabkan kekurangan bukti, Marimuthu telah disenaraikan sebagai orang hilang sehinggalah tahun 1987, Marimuthu masih kekal dalam senarai orang hilang. Algamali berasa pelik melihat Ramiah seolah-olah Ramiah tidak ambil peduli terhadap kehilangan suaminya. Dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah, Detektif Algamali memutuskan untuk membuat siasatan lebih mendalam berhubung kes kehilangan dan dia turut mengesyaki bahawa Marimuthu telah dibunuh.
Pada 23 Mac 1987 iaitu dua bulan selepas dakwaan pembunuhan pertama kali didedahkan, bahagian Siasatan Khas telah menjalankan operasi di beberapa lokasi untuk menangkap seramai lapan suspek yang berkait dengan kes itu. Suspek-suspeknya adalah isteri mangsa, Ramiah, ibu Ramiah, Kamachi Krishnasamy, tiga abangnya Rathakrishnana Ramayah, Shanmugam Chandra dan Balakrishna Ramiahbother, serta isteri mereka.
Kesemua lapan suspek menafikan dan mengaku bahawa mereka tidak tahu langsung tentang pembunuhan itu serta mendakwa Marimuthu telah hilang sejak lawatannya ke Genting Highlands. Bagaimanapun, selepas beberapa hari disoal siasat, semuanya terbongkar apabila salah seorang daripada mereka yang gemuruh telah mengaku dan mendedahkan seluruh butiran pembunuhan itu.
Pada 12 Disember 1984, hari yang sama apabila Marimuthu sepatutnya meninggalkan Singapura ke Genting Highlands, Ramiah membawanya ke Gereja Presbyterian Orchard Road tempat Chandra bekerja sebagai penjaga. Di sana, Marimuthu diikat dan dipukul hingga mati dengan batang besi. Tubuhnya kemudian dicincang oleh Balakrishna yang merupakan seorang penyembelih daging di sebuah gerai daging.
Selepas itu, bersama serbuk kari, rempah ratus dan nasi, bahagian badan Marimuthu dimasak menjadi kari dalam periuk aluminium yang besar. Tujuan memasaknya dalam gulai kari yang dicampur dengan rempah ratus dan serbuk cili yang pedas adalah untuk mengurangkan bau hamis mayat. Kemudian, kari itu bersama-sama bahagian badan mayat dimasukkan ke dalam beberapa beg sampah hitam dan dibuang di tong sampah tepi jalan di seluruh Singapura. Namun, disebabkan jurang masa antara penyiasatan dan masa pembunuhan agak lama, tiada satu pun beg sampah ditemui.
Kes pembunuhan itu disifatkan sebagai salah satu kes pembunuhan yang paling aneh dan mahir kerana kaedah pembunuhan. Tambahan pula, tiada bukti langsung yang ditemui oleh pasukan penyiasat termasuk tiada anggota badan, tiada senjata membunuh, malah tiada periuk masak dan juga tiada saksi yang boleh mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh suspek.
Walaupun punca sebenar yang menjadi rentetan kepada pembunuhan kejam ini tidak pernah didedahkan, media Singapura membuat spekulasi ia berpunca dari sikap panas baran Marimuthu yang juga kaki botol dan sering memukul isterinya. Ramiah dikatakan tidak tahan dengan sikap suaminya yang bertukar menjadi ganas setiap kali dia mabuk sehingga memaksanya berkongsi masalah dengan adik-beradiknya.
Pada 12 Jun 1987, kesemua dari mereka kecuali dua kakak ipar Ramiah telah didakwa. Bagaimanapun, disebabkan bukti yang tidak mencukupi, Ramiah, ibu, tiga abangnya, dan seorang daripada kakak iparnya telah dibebaskan. Namun, sebagai syarat suspek boleh didakwa semula di bawah kesalahan yang sama sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk membawa tuntutan terhadap mereka. Keenam-enam mereka dibebaskan pada hari yang sama. Sehingga hari ini, suspek terus hidup bebas walaupun dengan butiran jelas mengenai pembunuhan itu diberikan.
“Pembunuhan kari” pernah diadaptasi sebagai drama bersiri 20 episod yang memaparkan lima kisah jenayah sebenar. Siri Mandarin itu bertajuk Doctor Justice diterbitkan oleh Television Corporation of Singapore (TCS; kini Mediacorp) dan disiarkan di Saluran 8 pada tahun 1995.
Sumber: Singapore Infopedia, ExploreSG dan Twitter @mrcreepyposta