Polis sedang menyiasat video tular di media sosial berhubung satu kejadian buli pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di Ranau, Sabah.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin memberitahu, pihaknya telah menerima maklumat mengenai satu video tular di media sosial yang berdurasi selama lebih kurang 5 minit itu.
“Video tersebut memaparkan rakaman video yang didakwa buli melibatkan pelajar sekolah yang berlaku di salah sebuah sekolah menengah di daerah Ranau.
“Polis Daerah Ranau mengesahkan telah menerima laporan polis berkaitan kes ini pada 1 September 2023 jam lebih kurang 3.26 petang dan polis sedang menjalankan siasatan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan,” katanya.
Menurut Simiun, kes tersebut kini masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tersebut.
“Pihak polis juga menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana individu.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh salurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau bagi membantu siasatan,” katanya.
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI