Seorang murid berusia lapan tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dihempap dinding ketika mengambil wuduk di Masjid Raya Lubuk Minturun di Daerah Koto Tangah, Sumatera Barat Isnin lalu, lapor Tribunnews.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup memaparkan, terdapat dua orang kanak-kanak sedang berada di tempat mengambil wuduk.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 3.09 petang waktu tempatan apabila sebuah motosikal secara tiba-tiba melanggar dinding itu sebelum jatuh menghempap salah seorang kanak-kanak berkenaan.
Seorang lagi kanak-kanak yang terselamat dilihat terpinga-pinga dan panik selepas melihat mangsa dihempap tembok konkrit itu.
Menurut salah seorang penduduk tempatan, mangsa baru sahaja menemani rakannya untuk menjamu selera di gerai bersebelahan masjid. Mangsa dan rakannya kemudian kembali semula ke masjid sebelum kejadian itu berlaku.
“Saya terkejut meihat seorang kanak-kanak dihempap dinding dan tiada sesiapa yang berani mengangkatnya. Ada juga yang menjerit meminta bantuan,” katanya.
Mangsa berjaya dibawa keluar selepas seorang pemandu lori yang melalui lokasi kejadian dan membawanya menaiki kenderaan tersebut.
Jawatankkuasa Masjid Raya Lubuk Minturun, Desriadi berkata mangsa merupakan pelajar dari Masjidil Haram TPQ Lubuk Minturun disahkan meninggal dunia akibat kejadian.
Ketua Unit Polis Trafik Padang Gakkum, Inspektor Arisman berkata mangsa meninggal dunia akibat dihempap konkrit tersebut yang runtuh dilanggar oleh sebuah motosikal jenis Yamaha Mio.
Katanya, penunggang merupakan seorang remaja berumur 13 tahun dan masih bersekolah di sebuah Sekolah Menengah Pertama (SMP).
“Susulan kejadian, mangsa yang sedang mengambil wuduk maut apabila dinding yang dilanggar motosikal tersebut jatuh menimpanya.
“Kanak-kanak itu mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia,” kata Arisman
Tambah Arisman, motosikal yang dinaiki remaja terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tembok konkrit itu.
Sehubungan itu, pihaknya telah menahan penunggang motosikal berkenaan untuk disoal siasat. Manakala motosikal tersebut telah dibawa ke Unit Kemalangan Trafik Polis Padang.
Sumber: Tribunnews.com
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI