ARAU: Jiran kepada lelaki yang disyaki menikam mati isterinya dengan menggunakan sebilah pisau, di sini, pagi tadi, mengaku terkejut dengan kejadian itu.
Mad Radzi Ismail, 41, yang tinggal bersebelahan rumah mangsa berkata pasangan dikenali sebagai ‘Mun’ dan ‘Lan’ itu dikenalinya sejak empat tahun lalu.
Beliau juga memaklumkan tidak pernah mendengar pasangan itu bertengkar, sepanjang tempoh mereka berjiran.
“Saya balik kerja kira-kira jam 8 pagi tadi dan tidak mengesyaki apa-apa… hanya sempat melihat suspek keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa kira-kira jam 9 pagi,” kata bapa kepada dua anak itu, kepada Bernama, di sini.
Mad Radzi yang bekerja di sebuah kilang sekali gus menzahirkan perasaan simpati terhadap nasib dua anak lelaki pasangan itu, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun.
“Saya bersimpati dengan anak-anak mangsa yang masih kecil. Mereka memanggil saya ‘ayah’ kerana kerap bermain di rumah saya,” katanya.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun disyaki menikam mati isterinya berumur 31 tahun, dengan menggunakan sebilah pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, di sini. – BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI
