Seperti yang diketahui, hari ini Selasa (13 Februari 2023) rakyat digembarkan dengan satu tragedi pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang awal petang hari ini.
Kejadian membabitkan sebuah pesawat jenis model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-P00C milik Air Adventure Flying Club mengakibatkan dua mangsa maut termasuk juruterbang.
Difahamkan, kejadian tersebut meragut dua nyawa di mana individu tersebut adalah juruterbang dan juga pembantu juruterbang.
Dua individu tersebut yang dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat sedalam lebih dua meter, di kawasan ladang kelapa sawit.
Bagi mengetahui lebih lanjut, di bawah ini disediakan kronologi sebelum berlakunya tragedi tersebut.
Berikut kronologi nahas pesawat ringan BK 160 Gabriel;
Pada jam 1.28 tengah hari, pesawat ringan BK 160 Gabriel dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Walau bagaimanapun, pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara tujuh minit selepas berlepas daripada lapangan berkenaan. Tiada panggilan kecemasan daripada juruterbang pesawat diterima.
Susulan itu, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur diaktifkan serta-merta bagi mengenal pasti lokasi pesawat.
Pada jam 1.45 petang, pesawat itu dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat sedalam lebih dua meter, di kawasan tersebut.
Pada jam 1.56 petang, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan mengenai pesawat itu terhempas di sebuah kawasan ladang sawit.
Pada petang tadi, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan dua mangsa maut dalam nahas terbabit.
Mangsa pertama, Daniel Yee Hsiang Khoon (juruterbang), 30, dan Roshaan Singh Raina (pembantu juruterbang), 42.
Kedua-dua mangsa berasal dari Johor dan Pulau Pinang, namun dipercayai menetap di Selangor
Siasatan awal mendapati, pesawat dipercayai melakukan penerbangan rekreasi sebelum terjunam di kawasan ladang kelapa sawit dengan 45 peratus badan pesawat terbenam ke dalam tanah.
Operasi membawa ke luar mangsa terpaksa menggunakan jengkaut dari pihak berkuasa tempatan.
Seramai 150 anggota dari pelbagai agensi, terlibat dalam usaha mengeluarkan mayat dengan pencarian serpihan bangkai pesawat dilakukan dalam lingkungan 50 meter radius.
Kedua-dua mayat berjaya di bawa keluar dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI