Seorang lelaki warga Israel dan pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan kerana didakwa memiliki senjata api bakal berhadapan hukuman mati jika disabit kesalahan.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hal ini kerana kertas siasatan terhadap semua suspek dibuka di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Sebelum ini, semasa penangkapan terhadap lelaki warga Israel pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966, namun siasatan dijalankan terhadap kesalahan yang lebih berat.
“Begitu juga dengan pasangan suami isteri yang berusia 42 dan 40 tahun itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata Api 1971,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara berkenaan di hadapan media dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa.
Jelasnya, mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah Akta Senjata Api 1971, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati.
“Pada masa ini kita masih menjalankan siasatan secara terperinci ke atas ketiga-tiga suspek.
“Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenalpasti motif sebenar tujuan pemilikan senjata api berkenaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, lelaki Israel terbabit berada dalam tahanan reman sehingga 7 April ini.
Manakala, tahanan reman terhadap pasangan suami isteri tempatan pula dijadualkan akan berakhir pada 5 April ini.
“Sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dipohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI