SYDNEY — Seorang paderi dilaporkan telah ditikam sewaktu melakukan siaran langsung di sebuah gereja hari ini, lapor NBC News.
Menurut Polis New South Wales dalam kemas kini di platform X, pihaknya menerima panggilan dari sebuah gereja di Wakekly, pinggir barat Sydney pada 7.10 malam waktu tempatan berhubung kejadian.
Difahamkan, insiden berlaku di Gereja Christ the Good Shepherd yang terletak di Welcome Street.
Dalam rakaman yang tular di media sosial itu mendedahkan mangsa (paderi) telah ditikam bertubi-tubi oleh seorang individu yang memakai baju T-shirt berwarna hitam sewaktu memimpin upacara keagamaan.
Berikutan itu, para pengikut yang berada di dalam gereja itu bergegas membantu mangsa.
Dalam klip yang diambil oleh salah seorang pengunjung gereja turut menunjukkan orang ramai membantu mangsa yang ketika itu telah berbaring di atas lantai.
Walau bagaimanapun, polis tempatan memaklumkan bahawa tiada sebarang kecederaan parah yang boleh mengancam nyawanya dan mangsa kini sedang menerima rawatan. Sementara seorang lelaki telah ditangkap bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihak gereja dalam satu kenyataan turut memberitahu mangsa yang berusia 50-an kini dalam keadaan stabil dan dirawat di sebuah hospital.
Orang ramai juga disarankan untuk tidak berada di kawasan berkenaan dan mengelakkan pergi ke tempat kejadian.
Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns menzahirkan simpati terhadap kejadian yang berlaku. Beliau turut menggesa masyarakat untuk bertenang berhubung kejadian.
Sebelum ini, negara tersebut dikejutkan dengan satu kejadian serangan bersenjata yang telah meragut enam nyawa pengunjung di sebuah pusat beli-belah Westfield Bondi pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, sebanyak sembilan orang turut dilaporkan mengalami kecederaan.
Sumber: NBC News & Siakap Keli
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI