Pasangan suami isteri terbuka hati untuk melafazkan kalimah syahadah pada 26 Mei lalu, enam tahun selepas anak sulung mereka memeluk Islam pada umur 11 tahun, lapor Sinar Harian.
Menurut penduduk Pekan Tunjang, Lim Hun Kheng atau nama Islamnya, Abdul Rahman Kheng, 51, dan isterinya Wandee Sandaesa, 45, atau nama Islam Nur Wandee mengambil keputusan itu selepas mendapat hidayah melalui mimpi kira-kira dua minggu lalu.
Ujarnya, dia telah mengucapkan kalimah syahadah di sebuah pejabat agama sewaktu di dalam mimpi. Manakala isterinya pula didatangi oleh seorang lelaki berjubah putih seperti pakaian imam masjid malam berikutnya sebelum mengucapkan kalimah suci itu dalam mimpi.
“Kami tidak bercerita antara satu sama lain sehinggalah beberapa hari selepas itu, kami bersembang mengenai kos rawatan isteri (warga Thailand), dia mengidap penyakit jantung dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Satun.
“Keadaan jantungnya agak kurang baik dan memerlukan pembedahan segera dengan kos mungkin melebihi RM10,000, saya dan isteri pun bercerita mengenai mimpi masing-masing. Lalu kami terdetik mungkin ini tandanya kami juga perlu masuk Islam seperti anak kami (Firdaus Hong) yang kini sudah berusia 17 tahun,” jelasnya sewaktu dihubungi.
Tambah Abdul Rahman yang merupakan tukang perabot, dia dan isteri telah dibantu oleh bapa angkat anak mereka yang mahu dikenali sebagai Ehsan.
Pasangan itu kemudian memeluk Islam pada jam 11 malam 26 Mei lalu selepas dipimpin oleh jawatankuasa masjid Pekan Tunjang.
“Selepas peluk Islam, kami rasa lebih tenang dan keesokannya Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman datang ziarah saya sekeluarga, Alhamdulillah kami dapat pelbagai bantuan zakat.
“Cuma sekarang ini kami perlu fikir untuk mencari wang untuk pembedahan isteri saya di Hospital Satun pada hujung bulan ini,” maklumnya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman memberitahu anak kedua pasangan itu Lim Eveen, 13, masih belum terdetik untuk menjadi seorang muslim.
“Saya tidak paksa anak bongsu saya untuk peluk Islam, cuma kami perlu tunjuk contoh yang baik seperti Firdaus buat sebelum ini.
“Sekarang saya dan isteri dalam proses belajar agama, ramai kenalan yang datang membantu, Alhamdulillah saya syukur kepada ALLAH kerana beri hidayah kepada kami,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan itu mencuri tumpuan selepas mengejutkan anak sulung mereka, Firdaus untuk bersahur pada bulan Ramadan termasuk menghantar dan menjemput anaknya untuk mempelajari ilmu agama.
Bukan itu sahaja, Hun Kheng dan isterinya turut membawa Firdaus ke pejabat agama daerah untuk tujuan pendaftaran selepas anaknya memeluk Islam secara sukarela pada usia 11 tahun.
Difahamkan, anak sulung pasangan itu kini menuntut ilmu dan tinggal di asrama sekolah agama LZNK iaitu Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Alor Setar.
Sementara itu menurut hantaran saudara Zakaria Othman di Facebook.
“Saya mimpi saya dengan isteri masuk Islam Ustaz. Bangun pagi esok, saya cerita kat isteri. Malam tu isteri saya pula mimpi benda yang sama!” Cerita Abdul Rahman Kheng sewaktu saya menziarahi keluarga mereka minggu lepas.
Di wajahnya tergambar kegembiraan yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Kalau Tuan/Puan masih ingat kisah yang saya coretkan di FB tentang adik Firdaus Hong yang masuk Islam berseorangan ketika masih berumur 11 tahun di sini:
Tapi yang paling saya kagum ialah peribadi ibu dan ayahnya yang pada ketika itu belum memeluk agama Islam. Bukan setakat tiada sebarang halangan untuk anak sekecil tu memeluk Islam, bahkan depa sendiri yang bawa anak itu ke Pejabat Agama untuk mendaftarkan keislaman.
Saya rasa tak ada ibu bapa boleh menyokong bila anak sekecil itu tiba-tiba menyatakan hasrat nak memeluk agama yang lain dari mereka.
Pada bulan Ramadan, ayahnya sendiri yang hantar adik Firdaus ke masjid untuk solat terawih. Tunggu di atas motor sampai habis terawih, dan barulah mereka pulang bersama. Ibunya pula bangun seawal jam 4-5 pagi untuk masakkan makanan nak bagi anaknya bersahur.
“Saya beli kuali, senduk lain ustaz. Tak guna yang sama untuk anak saya.”
Subhanallah.
Ini kisah 6 tahun lepas.
6 tahun ini jugalah adik Firdaus Hong tidak berhenti-henti berdoa memohon hidayah daripada Allah SWT buat ibu dan ayahnya.
6 tahun ini jugalah adik Firdaus Hong berusaha tanpa putus asa meyakinkan ibu ayah dan keluarganya untuk terbuka hati memeluk agama yang suci ini.
Segala puji kepada Allah, minggu lepas akhirnya doa adik Firdaus Hong dimakbulkan oleh Allah SWT setelah 6 tahun meminta. Ibu dan ayah akhirnya telah memeluk Islam.
“Lepas saya dan isteri bermimpi kami masuk Islam ustaz, saya habaq kat isteri, mungkin ini tandanya untuk kita juga masuk Islam sama macam anak kita.” Abdul Rahman menyambung lagi bila saya pi ziarah keluarga mereka sehari selepas mereka melafazkan syahadah.
“Sepanjang 6 tahun ni, saya dan isteri cukup bangga dengan akhlak dan peribadi anak kami lepas dia masuk Islam. Bila tingkatan 1 dia masuk Maahad Dini di bawah tajaan penuh zakat, walaupun berasrama penuh, bila dia balik rumah, dia adalah seorang anak yang cukup baik kepada kami.” Berkaca mata Abdul Rahman bercerita kepada saya.
Dada saya serta merta berasa sebak. Sungguh Alllah tidak mensia-siakan doa hambanya. Apatah lagi apabila ia diungkapkan oleh seorang anak kecil yang cukup matang apabila sanggup masuk Islam berseorangan di waktu kanak-kanak seusianya masih dengan fitrah bermain dan berseronok.
Baru ini, saya terima gambar yang adik Firdaus Hong jadi imam solat kepada ibu dan ayahnya!
Ayahnya dengan berkopiah dan ibunya lengkap bertelekung. Air mata saya terus mengalir tanpa dipinta.
“Ustaz ,nak habaq saya ni baru habis sembayang jumaat, rasa senang hati, bawa kereta pun jadi otak ni kosong. Dan hati pun kosong macam dunia ni tak ada masaalah apa.” Abdul Rahman hantar satu pesanan whatsapp kepada kami hari Jumaat lepas.
Air mata saya mengalir lagi entah keberapa kali.
Sesungguhnya hidayah Allah itu amat indah dan luas. Yakinlah bahawa Allah itu Maha Kuasa dan Maha Kaya untuk memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Dan saya serta team LZNK akan terus mengambil tanggungjawab ini memastikan mereka sekeluarga berasa selesa dengan Islam. InsyaAllah.
Minta Tuan/Puan tolong doakan untuk depa sekeluarga ya.
Sumber: Sinar Harian, FB Zakaria Othman
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI