Keputusan rayuan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas, akhirnya diketahui hari ini.
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Menurut laporan Astro Awani, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memberitahu dengan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kesemua enam tertuduh itu.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Keputusan itu diputuskan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Hadhariah bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Sementara itu media melaporkan sebaik sahaja selesai prosiding yang berlangsung lebih tiga jam bermula 9.10 pagi tadi, Zulkarnain Idros, 60, dan Hawa Osman, 61, dilihat terus keluar dari mahkamah dan melakukan sujud syukur.
Mereka dilihat menangis dan menadah tangan syukur kerana apa yang diimpikan selama ini supaya enam pesalah itu diheret ke tali gantung tercapai.
“Keadilan terhadap anak saya kini terbela, kami bersyukur kepada-Mu ya Allah,” jerit Hawa.
Sementara itu, Zulkarnain berkata, keputusan hari ini adalah keadilan buat anaknya yang sudah pergi menemui Ilahi dalam keadaan menyayat hati.
“Kami mungkin akan buat kenduri doa selamat untuk keputusan ini,” katanya ditemui selepas prosiding seperti dilapor Harian Metro.
Terdahulu, kesemua tertuduh menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala salah seorang tertuduh didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Terkini netizen mula berkampung di Instagram milik seorang individu yang dipercayai bertanggungjawab menulis dua surat layang berhubung kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan Osman, tujuh tahun lalu.
Media sosial dipercayai milik bekas pelajar UPNM yang juga sahabat Zulfarhan itu mula dihujani ucapan terima kasih selepas salah seorang pengguna TikTok berkongsi maklumat akaun Instagramnya.
Dipercayai surat layang tersebut diutuskan kepada pihak atasan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai usaha untuk memberitahu arwah telah didera dan dibuli oleh rakan-rakannya.
Difahamkan juga individu terbabit merupakan sahabat kepada Zulfarhan yang sama-sama menuntut di institusi berkenaan.
Sumber: Astro Awani, Harian Metro
.Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI