Pemandu bas atau lebih dikenali sebagai ‘abang bas Tiktok’ yang sebelum ini tular memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’ menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di Muar, Johor hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.
Tertuduh yang berusia 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor sambil dilihat hanya menunduk serta mengesat air matanya ketika rayuan jaminan dibuat.
Mengikut laporan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak saudaranya bagi maksud seksual. Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Hujahnya, ini kerana kes berkenaan adalah serius dan mendapat perhatian umum serta pelbagai komen diterima yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Tambahnya, memandangkan salah seorang mangsa juga adalah anak saudaranya, pihaknya memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.
Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.
Hakim Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.
Terdahulu, tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi Jumaat lalu.
Sumber: Astro Awani
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI