Misteri kehilangan pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, di Baling akhirnya terbongkar selepas polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat membunuh mangsa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh sebelum ini berkata, hasil daripada soal siasat suspek, Sabari dikatakan dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
“Ekoran perkembangan kes orang hilang, Polis Kedah berjaya mengesan dan memberkas dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes tersebut.
“Hasil siasatan dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.
“Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan,” katanya lagi.
Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan melibatkan kes orang hilang melibatkan mangsa kini dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Tergamak mereka (suspek) lakukan kekejaman terhadap suami saya, kering betul hati mereka ini,” kata Subhiah Roslina Shahibi, 57, isteri kepada Sabari Baharom, 62, seperti dilaporkan Harian Metro.
“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, kita sebijak macam mana pun ada kebodohan, kita kalau jahat tidak boleh nak sorok,” katanya lagi.
Anak mangsa, Muhammad Amir Hakimi kehilangan kata-kata apabila dimaklumkan polis bahawa bapanya dicampakkan ke dalam sungai tersebut.
“Perbuatan suspek terhadap ayah sangat kejam dan keterlaluan, sanggup dia buang ayah dalam sungai.
“Saya difahamkan ayah juga melayan suspek iaitu seorang kontraktor dengan baik,” katanya.
Terdahulu Sabari, 62, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling di Kedah. Kehilangannya disedari anggota keluarga selepas telefon bimbit miliknya gagal dihubungi. Ahli keluarga melakukan usaha pencarian termasuk memohon bantuan di media sosial.
Seorang wanita tempatan dilaporkan melakukan transaksi wang daripada akaun Sabari hasil penelitian polis melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV).
Manakala Proton Waja yang dipandu Sabari ditemui penduduk dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik.
Polis kemudiannya mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Sabari.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian, Astro Awani
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI