Connect with us

Jenayah

Kanak-kanak Diculik Nyaris Dijual Kepada Sindiket Pelacuran – Ketua Polis Selangor

SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) — Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang dekat sini Selasa lepas dipercayai turut dicabul kehormatan selain cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata kanak-kanak itu pada mulanya diajak menaiki sebuah kereta oleh empat suspek, dengan seorang daripada mereka merupakan wanita yang memang dikenalinya.

Hussein berkata kanak-kanak itu kemudiannya ‘ditahan’ di sebuah pangsapuri yang disewa di Setia Alam, di sini selama empat hari dan sepanjang tempoh itu dia dipercayai dicabul oleh dua suspek berumur 13 dan 23 tahun.

“Suspek utama berusia 23 tahun itu juga telah berurusan dengan sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur bagi urusan menjual kanak-kanak tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Advertisement

Ketua Polis Selangor itu berkata tindakan pantas polis menguar-uarkan berita kehilangan kanak-kanak itu menyebabkan sindiket enggan meneruskan proses jual-beli yang dirancang, dan suspek kemudiannya bertindak menempah kenderaan e-hailing dan meminta kanak-kanak itu pulang ke rumah pada 12 Okt.

“Siasatan mendapati kanak-kanak itu juga dikhayalkan oleh suspek menggunakan rokok elektronik (vape) selain dipercayai turut didera, namun dia diberikan makanan sepanjang tempoh ditahan,” katanya.

Sabtu lepas polis menahan empat lelaki dan dua wanita di sekitar Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran yang disyaki terlibat dalam kes itu, selain merampas kereta yang digunakan suspek.

Hussein berkata polis akan meminta lanjutan reman bagi semua enam suspek berumur 13 hingga 23 tahun yang tempoh tahanan mereka berakhir esok, bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Beliau berkata polis juga sedang memburu dua lagi individu berkaitan sindiket pelacuran bagi membantu siasatan kes tersebut yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik orang daripada penjagaan sah.

Advertisement

Beberapa media sebelum ini melaporkan kehilangan kanak-kanak itu pada malam 8 Okt, dan Ahad lepas Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong mengesahkan kanak-kanak yang dipercayai diculik itu ditemukan selamat kira-kira 2.30 petang pada 12 Okt.

Sumber: Bernama

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel