Seorang lelaki warga asing menerima padah apabila cuba menculik seorang kanak-kanak berusia dua tahun.
Lelaki itu hanya mampu mengerang kesakitan apabila suspek berjaya diberkas orang kampung di Kampung Bunga Raya dekat Kuang, Rawang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengenai kejadian terbabit.
“Mangsa melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, dia telah mendengar jeritan jirannya meminta tolong dan menjerit ada seseorang mahu mengambil anaknya.
“Dia kemudian pergi ke rumah jirannya itu sebelum melihat suspek cuba melarikan diri. Dia bersama penduduk lain mengejar suspek sebelum berjaya menahan suspek berdekatan kawasan pembuangan sampah,” jelasnya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Mohd Hafiz berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang terlibat merupakan kanak-kanak lelaki berumur dua tahun.
“Kejadian culik dipercayai berlaku di ruang tamu sebuah rumah dan suspek turut dipercayai bertindak berseorangan ketika kejadian.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai tukang cuci ketika bertindak cuba menculik mangsa sebelum berjaya diberkas kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Terdahulu tular di laman media sosial apabila beberapa video menunjukkan lelaki itu diikat serta ditahan orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI