IPOH, 26 Okt (Bernama) — Mayat seorang lelaki warga emas disyaki dibunuh ditemukan di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat penemuan mayat warga tempatan berusia 64 tahun itu pada pukul 6.13 petang daripada orang awam.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki itu ditemukan dalam keadaan terbaring, tanpa kesan kecederaan di tubuhnya dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata susulan itu seorang wanita tempatan berumur 24 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan dan perintah reman diperoleh selama seminggu ke atas suspek bermula hari ini.
“Wanita itu tiada rekod jenayah dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca serta suspek lain dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat memberi keterangan kepada pegawai penyiasat, ASP Sukjit Singh di talian 019-5505536 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI