Seorang wanita meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga asing di Jalan Lama, Masai, semalam, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa, 22, difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.
Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Naza dipandu seorang lelaki warga asing berumur 33 tahun telah melanggar mangsa sewaktu tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10.30 pagi.
“Akibat perlanggaran itu, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, saringan air kencing terhadap pemandu terbabit mendapati suspek bebas di bawah pengaruh dadah.
Bagaimanapun, pemandu terbabit ditahan dan akan direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Tambah Sohaimi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.
Sumber: Sinar Harian
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI