SUNGAI PETANI, 29 Okt (Bernama) — Mayat seorang lelaki tempatan yang dipercayai lemas dibawa arus ketika menunggu bot nelayan di pantai berhampiran Pasar Bisik, Kota Kuala Muda di sini Ahad lepas ditemukan orang awam, pada kira-kira 11.50 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata mangsa, Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, ditemukan terdampar kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Mayat mangsa dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB) di lokasi operasi sebelum diserahkan kepada polis. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga dan disertai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dengan teknik pencarian di permukaan air melibatkan kawasan sekitar 1.5 km sepanjang pesisiran pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Hamzi berkata Muhamad Aiman Safwan dipercayai lemas selepas dilaporkan hilang pada 12.41 tengah hari dan pencarian terus digerakkan menggunakan bot penyelamat dibantu empat bot nelayan, namun berdepan kesukaran berikutan laut bergelora menyebabkan SAR ditangguhkan pada 6.56 petang Ahad.
“Pencarian disambung semalam menggunakan tiga bot penyelamat, satu bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua bot nelayan namun mangsa tidak ditemui. Hari ini SAR diteruskan sehinggalah mayat mangsa ditemukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pengecaman mayat dibuat ibu mangsa, Rosnah Razali, 48, dan bedah siasat dijalankan Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Difahamkan, mangsa pergi ke Pasar Bisik untuk membeli ikan dan berada di pesisir pantai menunggu bot nelayan tiba sebelum dilaporkan hilang dipercayai dibawa arus deras.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI