Pelawak terkenal Shuib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.
Turut didakwa bersama ialah Pengarah Bersama Koh Choon Guan, 33, dan syarikat mereka, Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee), masing-masing atas pertuduhan sama, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, dan Choon Guan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM1.191 juta dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Bawah Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada ketua pengarah Kastam.
Hakim menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Disember depan.
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI