Pemandu treler membawa muatan kontena yang menyebabkan kematian seorang wanita dalam kemalangan di Jalan Kebun Sireh, Bukit Tengah menunjukkan tanda ‘peace’ kepada wartawan yang merakamkan wajahnya.
Lelaki itu bertindak demikian ketika tiba di Kompleks Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mendapatkan perintah reman ke atasnya pada jam 8.20 pagi, Khamis.
Dia kemudiannya dikenakan reman selama empat hari bermula Khamis sehingga 17 November ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap lelaki berusia 51 tahun itu.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila dihempap kontena yang dibawa sebuah treler dalam kejadian di Jalan Bukit Tengah pada jam 9.30 pagi, Rabu.
Kejadian itu melibatkan empat buah kenderaan lain iaitu Perodua Bezza, Toyota Altis, Honda Jazz dan lori 3 tan.
Mangsa Lee Zi Rou, 21 yang memandu Perodua Bezza maut di lokasi kejadian kerana tersepit dalam kenderaan.
Selain itu, pemandu Honda Jazz, Tan Chou Theng, 25 cedera selepas didapati tersepit di bahagian pemandu.
Ujian saringan awal dadah dan alkohol yang dijalankan terhadap pemandu itu menunjukkan negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu memetik Sinar Harian, syarikat yang mengendalikan sebuah treler membawa kontena yang menghempap beberapa kenderaan di Pulau Pinang pada Rabu, bakal berdepan dengan penggantungan lesen operasi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya syarikat berkenaan didapati tidak mematuhi peraturan keselamatan.
“Insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kementerian mengambil perhatian serius,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Ekonomi Maritim di sini pada Khamis.
Menurut beliau, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca kemalangan.
“Saya melihat ini ada unsur kecuaian dan tidak mematuhi keselamatan oleh pengendali treler tersebut.
“Miros akan menjalankan siasatan lanjut adakah ia berkaitan dengan teknikal mahupun kecuaian.
“Difahamkan panjang kontena tersebut 20 kaki manakala panjang treler itu boleh memuatkan dua kontena, namun pada hari itu hanya membawa satu kontena sahaja,” jelas beliau.
Sumber: Sinar Harian
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI