Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada pukul 4 pagi itu melibatkan motosikal jenis Honda Vario dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan dalam keadaan lampu isyarat merah menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Pada masa sama motosikal pasangan terbabit sedang menghala ke bandar raya ini sebelum berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang berusia 37 tahun dan pembonceng cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.
“Ujian air kencing juga dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah namun siasatan masih lagi diteruskan,” katanya.
Katanya, siasatan dilakukan bawah Sekysen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.
Sementara itu memetik laporan Malaysia Gazette, pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira Mohd Redzwan, 14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3.
Ramlah ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Cendana di sini hari ini mengetahui kejadian tersebut pada pukul 4 pagi selepas Muhammad Ikmal Danish datang ke rumah memaklumkannya.
“Ikmal meminta saya pergi melihat kemalangan itu yang katanya berdekatan jalan ke tasik di Bukit Layang Layang, saya ajak suami dan hanya beranggapan mungkin anak saya hanya cedera,” katanya.
Menurut Ramlah, dia terkejut apabila tiba di lokasi mengetahui Mohd Ridzwan iaitu anak kedua daripada tujuh beradik yang mesra dipanggil Abang Wan dan isterinya sudah meninggal dunia.
“Saya ingat anak saya seorang kemalangan, saya tidak tahu isterinya juga terbabit. Saya tak sanggup lihat jenazah anak dan menantu ketika kemalangan sangat menyayat hati.
“Kebetulan anak sulong juga keluar awal pagi untuk bekerja dan memberitahu ada melihat kemalangan tetapi tidak menyangka kemalangan itu membabitkan adiknya,” ujarnya.
Katanya, kebiasaannya arwah yang bekerja sebagai pemandu lori pergi kerja pukul 4 pagi dan akan keluar awal sejam untuk perjalanan ke Johor Bahru.
Ramlah berkata, keluarganya berharap keadilan untuk anak dan menantunya yang tidak bersalah.
“Saya harapkan sangat keadilan buat arwah anak dan menantu, hukuman setimpal buat pelaku. Saya kehilangan anak dan cucu saya jadi yatim piatu.
“Saya dimaklumkan saksi kejadian, anak dan menantu saya tidak bersaah. Kereta lelaki mabuk itu dipandu dengan laju dan melanggar anak dan menantu saya sehingga tercampak,” katanya.
Selepas ini katanya, dia dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 yang bekerja sebagai pemandu Forklift akan mengambil tanggungjawab menjaga semua cucunya itu.
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI