Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintah membela diri oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin terhadap tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan kes yang dibaca Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Noorin Badaruddin serta keputusan itu diputuskan secara sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Memetik laporan Harian Metro, pada 7 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, sembilan tahun lalu.
Dengan keputusan mahkamah hari ini, Bung Moktar dan Zizie Izette sekali lagi perlu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.
Ditanya selepas ini mereka terpaksa turun naik ke mahkamah sekali lagi, Bung Moktar sambil tersenyum berkata, mereka sudah bersedia dan akan menghadapinya.
“Kalau tuntutan (perintah mahkamah) kenalah,” katanya ringkas selepas ditemui di pekarangan mahkamah sebaik selesai mendengar keputusan itu.
Memetik Berita Harian, pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala peguam M Athimulan dan Datuk K Kumaraendran bertindak bagi pihak responden.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang,12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI