KUALA LUMPUR: Seniman Negara yang juga komposer terkenal Tan Sri Dr Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat sakit tua kira-kira 3.15 petang tadi di kediamannya di Taman Melewar, Gombak dekat sini hari ini.
Berita pemergian Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan disahkan sendiri cucunya Teh Suraya Nasir Khan ketika dihubungi Bernama.
“Arwah tiada apa-apa sakit, cuma demam dua tiga hari ini, mungkin itu petanda beliau nak pergi (meninggal dunia). Alhamdulillah, arwah pergi dalam keadaan yang baik,” katanya.
Teh Suraya berkata jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak di sini.
Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman, terutama dalam bidang muzik
Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Ahmad Nawab menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Datuk Khadijah Ibrahim yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.
Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.
Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI