Seorang lelaki berumur 63 tahun dilaporkan maut, selepas terlibat insiden berbalas tembakan, di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek, Johor Bahru, pada pukul 3.10 pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi itu, mangsa yang maut ialah lelaki warga tempatan berusia 63 tahun.
Menurutnya, sebelum kejadian, sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan rondaan sebelum mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario ditunggang suspek dalam keadaan mencurigakan di jalan terbabit.
“Polis kemudian mengekori dan berjaya menahan motosikal itu dan ketika hendak turun untuk memeriksa, secara tiba-tiba suspek melepaskan beberapa das tembakan.
“Anggota polis berbalas tembakan dengan suspek menyebabkan lelaki itu maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menjumpai satu pucuk pistol berhampiran suspek, selain empat butir peluru dan dua kelongsong peluru.
Semakan mendapati suspek mempunyai 14 jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah serta merupakan individu yang dikehendaki polis.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen Tiga Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat) 1971.
Sumber: Berita Harian
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI