Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali kepada perkhidmatan rel Laluan Kelana Jaya hari ini mengesahkan sebuah tren bernombor 84 mengalami gangguan teknikal di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Abdullah Hukum malam semalam sehingga menyebabkan kepulan asap kecil dan bunyi dentuman yang kuat.
Terdahulu tular satu insiden di media sosial kira-kira jam 10.43 malam tadi yang berpunca daripada kerosakan pada komponen pemasangan pengumpul kuasa pada tren.
Impak daripada insiden tersebut terdapat kepulan asap kecil dan bunyi dentuman.
“Pegawai Transit yang bertugas di dalam tren tersebut telah bertindak pantas mengikut piawaian standard operasi dengan meminta semua penumpang turun di Stesen Abdullah Hukum dan perkhidmatan tren alternatif telah diaktifkan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi. Tiada sebarang kecederaan melibatkan penumpang dilaporkan,” jelas Rapid Rail menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Rapid Rail, tren yang mengalami kerosakan tersebut telah dihantar pulang ke depoh penyelenggaraan untuk siasatan lanjut.
“Bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, pihak jurutera Rapid Rail telah mempertingkatkan pemeriksaan pada semua tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya untuk memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan tren sentiasa berada di tahap yang optimum dan selamat.
“Selain itu, pemantauan yang lebih kerap turut dijalankan oleh pegawai transit terutama di dalam tren ketika waktu puncak,” jelas Rapid Rail lagi.
Sehubungan itu, Rapid Rail memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh penumpang semasa insiden tersebut dan akan terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan perjalanan penumpang Rapid KL selamat, selesa dan lancar.
@user_20012201 Train meletup, alhamdulillah everyone is okay
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI