TELUK INTAN: Polis dilaporkan telah menahan seramai 13 pekerja kilang warga Nepal kerana cuba mencetuskan rusuhan selepas seorang rakan mereka maut dalam kemalangan langgar lari di Batu 8, Jalan Changkat Jong, di sini, pada Jumaat malam.
Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, rusuhan sekitar jam 9.35 malam itu berpunca daripada kemalangan langgar lari yang mengorbankan seorang pejalan kaki yang juga rakan senegara mereka.
“Kemalangan itu menyebabkan lebih 1,000 pekerja kilang berhampiran telah turun serta berkumpul di lokasi kejadian hingga menghalang lalu lintas.
“Pasukan polis telah digerakkan bagi mengawal keadaan sebelum kesemua pekerja kilang terbabit beredar pulang ke asrama mereka sekitar jam 2 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut Bakri, kesemua tangkapan yang cuba mencetuskan rusuhan akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ujarnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan yang terlibat dalam nahas langgar lari itu.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Syamil di talian 011-10065817 bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”
Terdahulu tular di media sosial sekumpulan pekerja warga asing berkumpul beramai-ramai di jalan raya sehingga menghalang lalu lintas dipercayai berpunca daripada seorang rakan mereka maut dalam kemalangan langgar lari.
Sumber: Sinar Harian
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI
