Connect with us

Terkini

Isu Tapak Kuil Selesai, Pengurusan Kuil Setuju Pindah Lokasi Baharu – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Isu berhubung tapak kuil berhampiran Jalan Masjid India di sini akhirnya selesai apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat berkenaan dipindahkan ke lokasi baharu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan.

“Keluasan tapak ini setara dengan saiz kuil sedia ada. Tapak ini merupakan sebahagian lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.

“Pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuatkuasa dan pihak kuil juga bersetuju dengan perkara ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Advertisement

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Setiausaha jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman Kaarthik Gunaseelan, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan.

Pada 20 Mac lepas, media melaporkan proses perbincangan mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata majlis pecah tanah sebuah masjid yang akan dibina di Jalan Masjid India itu akan diteruskan pada Khamis.

Zaliha berkata kerajaan juga mengulangi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan akan dilakukan terhadap struktur kuil sedia ada.

Kuil berkenaan katanya, akan terus dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya dalam suasana harmoni.

Advertisement

Beliau berkata dalam masa yang sama, kerajaan ingin menegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus bagi kes ini sahaja dan tidak boleh dijadikan kes rujukan (precedent case) bagi rumah ibadat lain.

Dr Zaliha berkata setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Kerajaan mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga menyeru semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.

“Polemik ini harus dihentikan segera. Marilah kita semua terus memelihara keharmonian dan keamanan yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara,” katanya.

Advertisement

Dr Zaliha berkata kerajaan sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama, dalam masa yang sama memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama.

Number: BERNAMA

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel