KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Bernama) — Seorang pembantu tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerima lima jahitan di kepala selepas ditimpa basikal kanak-kanak dicampak dari tingkat 12 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di sini, petang semalam.
Kejadian berlaku semasa Azuraini Yazid, 43, yang tinggal di tingkat sembilan PPR itu sedang berjalan untuk membuang sampah di rumah sampah berdekatan.
Suaminya Jusri Ibrahim, 48, berkata Azuraini tidak sedarkan diri selepas ditimpa basikal itu.
“Kejadian disedari anak perempuan saya yang kebetulan keluar mengambil motosikal di tempat parkir kerana hendak ke kedai.
“Penduduk yang menyaksikan kejadian juga segera mendapatkan bantuan. Azuraini kemudiannya dibawa ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jusri berkata beliau telahpun berjumpa dengan pemilik basikal untuk mendapatkan penjelasan, bagaimanapun individu itu mendakwa basikal milik anaknya yang diletakkan di kaki lima rumah telah dibuang oleh penghuni lain.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor mengesahkan kejadian dan pihaknya sudah merakam percakapan seorang penduduk di PPR berkenaan.
“Kita akan jalankan siasatan lanjut. Mangsa juga dilapor berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan pulang ke rumah pagi tadi,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI