Tuesday, December 09, 2025

Kebakaran Putra Heights: Kerja Sedut Air Dari Kawah Di “Ground Zero” Diteruskan

April 7, 2025
1 min read

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Memasuki hari ketujuh kejadian letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, pihak berkuasa masih meneruskan kerja-kerja mengeluarkan air bertakung di kawasan kawah yang terbentuk di ‘ground zero’ ekoran hujan sejak beberapa hari lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata paras air bertakung meningkat sedikit pagi ini disebabkan hujan malam tadi.

“Ada sedikit peningkatan air yang bertakung di kawasan tersebut tetapi buat masa ini semuanya lancar dan kerja-kerja mengepam sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain akan hadir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights petang ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad berkata dua jentera untuk mengepam air sentiasa tersedia di lokasi kejadian sekiranya ada keperluan untuk mengepam keluar air yang bertakung.

“Pam yang disediakan sentiasa berada di situ kerana proses ini bukanlah ‘one-shot’, jadi apabila hujan kita boleh terus keluarkan air yang bertakung di situ,” katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.

Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.

Sementara itu Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.

Sumber: BERNAMA

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

HANGAT MINGGU INI

Aceh Dilanda Banjir Lumpur, Dakwaan Bantuan Pertama Datang Dari Malaysia Tular di Media Sosial

ACEH – Banjir besar yang melanda Aceh terus meninggalkan kesan yang menyentuh

Ahli Parlimen Padang Serai Didakwa Subahat Kes Rasuah RM400,000

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin hari ini