Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi telah membuka kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam di Menara Kuala Lumpur pada 1996, dalam satu majlis khas hari ini.
Kapsul masa Wawasan 2020 yang disimpan sejak 1 Oktober 1996 itu kini berusia kira-kira 28 tahun dan menyimpan pelbagai barangan.
Antara barang yang dikeluarkan adalah beberapa keping gambar pembinaan, wang kertas RM2, poster, filem, iklan Menara Kuala Lumpur, cakera padat video (VCD) dan barang lain.
Tun Dr. Mahathir berkata, sebenarnya beliau tidak berharap untuk membuka kapsul itu ketika hayatnya masih ada kerana faktor umur yang telah lanjut.
“Saya fikir pada masa itu saya sudah tidak ada untuk melihat kembali kapsul itu. Tapi alhamdulillah saya berpeluang membukanya.
Tun Dr. Mahathir yang dilihat membuka kapsul dengan keadaan tangan yang berbalut berharap Menara KL dapat terus menjadi simbol pencapaian negara sejak ia mula dibina tahun 1993 dan siap pada 1996.
“Saya dapat membaca semula sajak yang ditulis sempena Ulang Tahun UMNO ke-50,” katanya lagi pada sidang media selepas majlis pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur.
“Saya harap menara ini terus menjadi simbol tahap kemajuan negara. Masa menara ini didirikan, belum ada bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur. Tapi sekarang, Kuala Lumpur sudah seperti New York, penuh bangunan tinggi.
“Insya-ALLAH, saya harap Kuala Lumpur terus berkembang sebagai pusat metropolitan yang menjadi lokasi aktiviti ekonomi, politik dan sosial serta menyumbang kepada dunia,” ujarnya lagi.
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI