KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara di sini.
Anwar tiba di dewan solat utama Masjid Negara kira-kira 1 tengah hari, diiringi beberapa jemaah menteri.
Antara menteri yang mengiringi beliau ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Perdana Menteri turut meluangkan masa beberapa minit untuk bertemu ahli keluarga Allahyarham.
Isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya, Nori Abdullah bersama suami Khairy Jamaluddin, antara ahli keluarga yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan terakhir itu berlangsung.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI