SHAH ALAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang pengawal keselamatan yang melepaskan tembakan ke arah seorang individu bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah restoran di Banting, Kuala Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan membuat laporan polis pada jam 12.05 tengah hari, memaklumkan adik lelakinya mengamuk di rumah mereka sebelum anggota kereta peronda dikerahkan ke lokasi bagi membawa suspek ke Hospital Banting untuk rawatan.
“Kira-kira jam 3.31 petang, polis menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki mengamuk dan bertindak mengacukan parang ke arah pegawai perubatan di sebuah restoran di Banting.
“Selain itu, pengadu memaklumkan ada tembakan dilepaskan ke arah lelaki berkenaan.
“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan.
Seorang lelaki bertindak agresif dipercayai menggunakan senjata tajam sebelum seorang pengawal keselamatan melepaskan 1 das tembakan pada kaki individu tersebut.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Kedai Mamak Al Riza, depan Hospital Banting.
Sumber : My Kuala Langat… pic.twitter.com/Cllsicn04d
— Malaysian Update Official (@msianupdate) April 19, 2025
Mohd Akmalrizal turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, selain meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan mengamuk mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di lokasi melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.
Sumber: Buletin TV3
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI