PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) — Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan komposer serta penyanyi nasyid Muhammad Yasin Sulaiman dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya bagi tiga kesalahan berkaitan dadah.
Panel tiga hakim terdiri daripada Che Mohd Ruzima Ghazali, Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Muhammad Yasin serta mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen.
Pada 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membebaskan penyanyi Mimpi Laila berusia 49 tahun itu daripada semua pertuduhan dan memerintah agar dia ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak di bawah perkenan Sultan Selangor.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah itu, Che Mohd Ruzima berkata dakwaan bahawa Muhammad Yasin menghidap gangguan bipolar bukan hanya sekadar omongan kosong.
Dia berkata berdasarkan sejarah perubatannya, empat hospital telah mengesahkan bahawa Muhammad Yasin menghidap gangguan bipolar yang dikesan antara 2007 dan 2013.
ADS
Che Mohd Ruzima juga berkata ini menunjukkan bahawa Muhammad Yasin mengalami relaps dan telah menerima rawatan.
“Kami mendapati bahawa meskipun perayu melakukan kesalahan seperti yang didakwa, dia tidak boleh disabitkan kerana ketidakupayaan mentalnya ketika kejadian,” katanya.
Dia berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam menangani isu ketaksiuman daripada segi perundangan berdasarkan keterangan Dr Ian Llyod Anthony yang merupakan perunding psikiatri forensik dari Hospital Bahagia Ulu Kinta.
ADS
“Kami mendapati bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengetepikan keputusan hakim bicara yang dibuat berdasarkan bukti yang dikemukakan,” katanya.
Hakim itu juga berkata keterangan Dr Ian dan laporan perubatannya mengenai keadaan gangguan bipolar Muhammad Yasin bukan dengar cakap atau khabar angin.
Pada 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Faiz Dziyauddin telah membebaskan Muhammad Yasin daripada semua pertuduhan atas alasan ketika kejadian, penyanyi itu berada dalam keadaan tak sempurna akal meskipun dia menyedari tindakannya.
Tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkan Muhammad Yasin atas tiga pertuduhan menanam pokok ganja, memiliki serta mengambil dadah berbahaya.
Dia telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan enam sebatan bagi kesalahan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik manakala bagi kesalahan memiliki 193.7 gram ganja, Muhammad Yasin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dengan 10 sebatan
Selain itu, dia dijatuhi hukuman penjara 10 bulan bagi kesalahan mengambil dadah berbahaya.
Pada prosiding hari ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon, Low Wei Loke dan Ee Gen You mewakili Muhammad Yasin manakala Timbalan Pendakwa Raya Sarulatha Paramavathar hadir bagi pihak pendakwaan.
Di luar mahkamah, Zain Sulaiman iaitu abang sulung Muhammad Yasin memaklumkan media bahawa ini adalah hari yang bermakna buat penyanyi itu selepas tiga tahun meringkuk dalam penjara.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI