Guadalajara, Mexico: Seorang pempengaruh media sosial Mexico ditembak mati semasa strim langsung di TikTok, di mana dia mempunyai puluhan ribu pengikut, kata pihak berkuasa semalam.
Akhbar Mexico menamakannya sebagai Valeria Marquez, 23, yang menyiarkan video berkaitan kecantikan dan gaya hidup, yang sebahagiannya mendapat ratusan ribu tontonan.
Dia dibunuh pada petang Selasa di salun kecantikannya di Zapopan, pinggir bandar barat Guadalajara, lapor pejabat pendakwa negeri Jalisco.
“Mangsa adalah seseorang yang mempunyai pengaruh aktif di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
“Seorang lelaki memasuki premis itu dan nampaknya melepaskan (tembakan dengan pistol) ke arahnya,” tambahnya.
Motif serangan tidak diketahui.
Wilayah ini adalah sarang aktiviti jenayah, rumah kepada salah satu kumpulan pengedaran dadah yang paling ganas di Mexico, Kartel Generasi Baharu Jalisco.
Bagaimanapun, setakat ini, penyiasat tidak menemukan bukti bahawa kumpulan penjenayah berada di sebalik kejadian itu, kata penyelaras keselamatan negeri, Roberto Alarcon kepada pemberita.
Datuk Bandar Zapopan Juan Jose Frangie berkata, pejabatnya tidak mempunyai rekod jika Marquez meminta bantuan daripada pihak berkuasa kerana ancaman terhadapnya.
“Sungguh luar biasa bahawa anda membuat video dan kemudian anda dibunuh. Pembunuhan wanita adalah perkara yang paling teruk,” kata Frangie.
Menurut laporan media, Marquez dibunuh oleh seorang lelaki berpura-pura membawa hadiah kepadanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan bahawa kira-kira 10 wanita atau kanak-kanak perempuan dibunuh setiap hari di Mexico, di mana keganasan jenayah dan berkaitan jantina berleluasa. – AFP
Sumber: Harian Metro
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI
