TEHRAN, 23 Jun – Seorang lelaki yang didakwa menjadi ejen perisik Israel telah dihukum gantung oleh pihak berkuasa Iran, lapor AFP memetik kenyataan badan kehakiman negara itu.
“Tertuduh telah dihukum mati pagi ini atas tuduhan bekerjasama dengan Israel,” kata kenyataan rasmi tersebut. Lelaki berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Mossad dan juga saluran Iran International berpangkalan di London, yang sering mengkritik kerajaan Iran.
Pihak berkuasa Iran menganggap saluran itu mempunyai hubungan langsung dengan Israel dan pernah melabelnya sebagai “organisasi pengganas” susulan peranan dalam liputan tunjuk perasaan selepas kematian Mahsa Amini pada 2022.
Sementara itu, seorang lagi individu, Majid Mosayebi, turut dihukum mati semalam atas dakwaan menjadi ejen Mossad. Ketua Kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni Ejei, menegaskan kes berkaitan keselamatan dan ‘tali barut musuh’ akan disegerakan prosesnya.
Menurut Amnesty International, Iran kini merupakan negara kedua tertinggi di dunia dalam pelaksanaan hukuman mati, selepas China.
Sumber: AFP
