DOHA, 23 Jun – Qatar menggantung sementara semua trafik udara pada Isnin sebagai langkah berjaga-jaga susulan ancaman balas Iran terhadap serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga tapak nuklear di republik itu.
Menurut Kementerian Luar Qatar, tindakan itu diambil setelah memantau perkembangan keselamatan di rantau Teluk bersama rakan serantau dan antarabangsa.
“Langkah ini adalah tindakan pencegahan berdasarkan situasi semasa di rantau ini,” kata kenyataan rasmi kementerian tersebut.
Qatar, yang terletak hanya 190 kilometer dari selatan Iran, turut menjadi lokasi pangkalan tentera terbesar AS di rantau ini, Al Udeid.
Dalam masa sama, beberapa kedutaan Barat termasuk Kedutaan AS menasihati warganegara mereka supaya tidak keluar rumah dan segera berlindung sehingga diberitahu kelak.
“Atas faktor keselamatan, warga AS dinasihatkan supaya berlindung di tempat selamat sehingga notis seterusnya,” menurut kenyataan di laman web rasmi Kedutaan AS di Doha.
Iran sebelum ini mengeluarkan kenyataan keras, memberi amaran akan bertindak balas dengan “tindakan serius dan tidak dapat dijangka” terhadap AS selepas serangan udara dilancarkan pada Ahad.
Sumber: AFP
