WASHINGTON, 24 Jun – Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump mengeluarkan amaran keras kepada Israel agar menghentikan serangan udara ke atas Tehran, menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap perjanjian gencatan senjata yang baru dimeterai.
Bercakap sebelum berlepas ke Sidang Kemuncak NATO di The Hague, Trump mendedahkan bahawa Israel telah melancarkan serangan sejurus selepas bersetuju dengan gencatan senjata tersebut.
“Sekarang Israel hendak pergi serang (Iran) hanya kerana satu roket yang tidak kena apa pun,” katanya.
Trump turut menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Israel dan mengarahkan pesawat tenteranya dipanggil balik melalui satu kenyataan di platform Truth Social.
“Israel. Jangan gugurkan bom. Jika anda lakukan, ia merupakan pelanggaran besar. Panggil balik juruterbang anda, sekarang!” tegasnya.
Trump menegaskan bahawa beliau sedang berusaha meredakan ketegangan dan mengekang provokasi lanjut.
“Saya mahu Israel bertenang sekarang… Saya percaya Iran masih komited kepada keamanan. Tapi kedua-duanya telah langgar perjanjian.”
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada serangan udara Israel selepas pengumuman gencatan senjata, sebagai tindak balas terhadap dakwaan peluru berpandu Iran yang dilancarkan sebelum tempoh gencatan berkuat kuasa.
“Saya sangat tidak gembira kalau Israel menyerang pagi ini hanya kerana satu roket yang tidak meletup. Itu tak masuk akal.”
Amaran itu muncul beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan serangan balas intensif ke atas Tehran, mendakwa Iran melanggar perjanjian damai.
Iran bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan semua operasi ketenteraan dihentikan sebelum waktu gencatan senjata bermula.
Setakat ini, pejabat Perdana Menteri Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas. – Malaysian Update
Sumber: Astro Awani
