Anggota yang membawa kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung tugas selepas membawa kenderaan jabatan secara berbahaya ketika melalui jalan Simpang Pulai, Perak.
Apa yang berlaku
Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka orang awam sebelum dimuat naik dan tular di media sosial, hari ini.
Tindakan segera
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, anggota tersebut juga ditempatkan ke jawatan kumpulan di ibu pejabat sehingga siasatan selesai.
“Notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar itu juga dikeluarkan selain dilarang memandu kenderaan jabatan.
“Pihak JPJ memandang serius berkaitan kejadian tersebut dan tindakan tegas secara serta-merta telah dikeluarkan kepada anggota JPJ yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan lanjutan
Tambah Aedy Fadly, pihaknya juga telah mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan seterusnya.
Komitmen JPJ
Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan jabatan ini yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Seruan kepada orang awam
“Pihak JPJ merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada orang awam yang telah merakam kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“JPJ menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau real time jika terdapat mana-mana pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ, e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan,” ujarnya.
Latar belakang kejadian
Terdahulu tular di media sosial sebuah video dari arah bertentangan merakam kenderaan JPJ yang memotong garisan berkembar.
Kejadian yang dirakam pada pukul 10.18 pagi itu memaparkan pemandu dari arah bertentangan sempat mengelak daripada terlanggar kereta JPJ tersebut. – The Malaysian Update
Sumber : Kosmo!
