SELAYANG – Pempengaruh yang dikenali sebagai ‘CEO Batu’ didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbitnya pada Mei lalu.
Apa yang berlaku
Tertuduh, Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki video dan gambar lucah dalam galeri telefon bimbit miliknya ketika berada di pejabat pegawai penyiasat Jenayah IPD Gombak, kira-kira pukul 11.39 pagi, 22 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Latar belakang
Timbalan Pendakwa Raya, Birr Zamier Abu Bakar mencadangkan jaminan RM6,000 seorang penjamin.
Namun peguam bela, Nabil Ashraff Ridzuan mohon jaminan rendah atas faktor tertuduh kehilangan pendapatan dan mempunyai masalah kesihatan akibat kemalangan, selain bergantung kepada pendapatan bapa yang bekerja di kilang.
Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 30 September.
Kes berkaitan
Semalam, Iqbal turut didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap remaja perempuan 14 tahun, juga pada Mei lalu.
Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh itu ditahan susulan laporan polis dibuat ibu mangsa yang mendakwa anaknya diganggu secara seksual.
Penyanyi dan aktivis Caprice turut mendedahkan mesej lucah serta gambar tidak senonoh yang dihantar kepada remaja bawah umur menerusi akaun Instagram miliknya.
CEO Batu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Sumber: Kosmo!
