OKLAHOMA CITY – Seorang peminat tegar Juanes tidak menyangka akan menerima kejutan seumur hidup selepas menonton konsert idolanya itu.
Insiden manis itu berlaku selepas konsert Juanes di The Criterion, Oklahoma City pada 26 Oktober tahun lalu, apabila penyanyi tersohor Colombia itu memuat naik video di Instagram miliknya yang menunjukkan dia berhenti di tepi jalan dan menyertai seorang peminat yang sedang menyanyi lagu “Es Por Ti” dalam keretanya.
“Saya baru keluar dari konsert dan nampak gadis ini menyanyi ‘Es Por Ti’ dalam kereta. Saya pun dekati dan nyanyi bersama,” tulis Juanes dalam video berkenaan.
Ketika kenderaan mereka berhenti di lampu isyarat, Juanes menurunkan tingkap dan menyambung nyanyian bersama gadis itu. Pada awalnya, dia tidak menyedari kehadiran Juanes dan terus menyanyi seperti biasa. Namun, sebaik sahaja menyedari siapa di sebelahnya, dia menjerit, keluar dari kereta dan terus mengambil gambar bersama artis kegemarannya itu.
“Ah, Juanes, saya tak percaya ini berlaku!” katanya dalam video yang kini tular.
Juanes turut menulis kapsyen di Instagram: “Kami baru habis show di Oklahoma City semalam dan ini berlaku. Terima kasih kepada semua peminat saya!!! Saya SAYANG kamu semua.”
Peminat bertuah itu dikenali sebagai María Camila Zarta, 28, berkata kepada TODAY.com bahawa dia masih tidak percaya momen itu benar-benar berlaku. “Saya rasa macam bermimpi. Saya nyanyi sekuat hati, dan tiba-tiba dia ada di sebelah saya,” katanya.
Zarta mendedahkan bahawa dia merupakan peminat Juanes sejak kecil, sering menyanyi lagu-lagunya di depan cermin dan menampal poster artis itu di dinding bilik rumahnya di Colombia. Konsert itu juga merupakan kali pertama dia menyaksikan Juanes secara langsung.
Lagu “Es Por Ti” menjadi kegemarannya dan dia mendedikasikan lagu itu buat tunangnya, David Conde, yang turut berada dalam kereta bersamanya malam itu. Mereka berdua berasal dari Colombia dan menetap di Oklahoma City, satu tempat yang jarang dikunjungi artis Latin untuk konsert.
Conde berkata mereka sememangnya berharap dapat berjumpa Juanes selepas konsert, namun tidak menyangka impian itu menjadi kenyataan secara spontan.
Menurut Zarta, beberapa bulan lalu dia mengalami kemurungan teruk, dan mengaitkan pemulihannya dengan lagu “Gris” nyanyian Juanes. “Saya percaya ini petanda saya keluar daripada kegelapan itu,” katanya.
Jika diberi peluang, katanya, dia ingin memberitahu Juanes bahawa yang memeluknya malam itu bukanlah dirinya yang berusia 28 tahun, tetapi gadis 13 tahun yang pernah menyanyi lagu-lagunya seperti orang gila dan menghiasi dinding bilik dengan poster beliau.
Juanes pada ketika itu sedang menjalani siri jelajah kedua di Amerika Syarikat sebagai kesinambungan kepada kejayaan album “Vida Cotidiana” yang memenangi Grammy. Oklahoma City adalah antara destinasi baharu yang jarang disinggah dalam karier muziknya.
Bagi Zarta, detik singkat bersama Juanes itu sangat bermakna bukan hanya sebagai peminat, tetapi sebagai anak perantau.
“Sebagai seorang imigran, kita sangat rindukan tanah air. Dan apabila Juanes berkongsi detik itu dengan saya, dia seolah-olah menghadiahkan secebis dari tanah air saya,” ujarnya penuh emosi. – The Malaysian Update
